utama

Rekod busking paling lama

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Persembahan Busking Tanpa Henti selama 34 jam atau 2,017 minit di Balai Seni Negara, semalam bakal mencatatkan rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai persembahan busking paling lama dengan 68 persembahan.

Presiden Kelab Malaysia Buskers (MYBC) Wady Hamdan berkata, setiap buskers diperuntukkan 30 minit persembahan yang bermula jam 10 pagi semalam bakal berakhir 8 malam hari ini dengan pembabitan buskers dari luar negara seperti Jepun, Jerman dan Pakistan.

“Program ini dirangka sebagai ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menyokong buskers selama ini, tanpa mereka siapalah kami semua.

“Bukan mudah untuk kami mengubah persepsi orang ramai terhadap komuniti buskers, namun Alhamdulillah dalam tempoh empat tahun kami berjaya dalam transformasi buskers sebagai penghibur jalanan yang berjaya,” katanya ketika ditemui di Balai Seni Negara, semalam.

Wady berkata, jika dulu buskers sinonim dengan gelaran peminta sedekah namun dengan pelbagai program dilakukan mampu mengubah persepsi itu hingga ada menjadikan busking sebagai punca pendapatan utama.

“Saya perlu akui busking kini menjadi perhatian ramai, kami berjaya melakukan transformasi mengubah mentaliti rakyat Malaysia mengenai busking, jika dulu agak sukar untuk orang memandang buskers namun kini kami dilabel sebagai penghibur jalanan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai kerap salah faham dengan buskers yang hanya dianggap mereka bermain alat muzik dan penyanyi tetapi penyair, badut dan silap mata juga digolongkan sebagai buskers.

Muka depan Harian Metro semalam memaparkan kisah seorang bekas majistret sanggup berhenti kerja berikutan tiada masa lagi untuk busking.

Jika dulu imej sebahagian mereka yang ranggi dan seperti peminta sedekah namun tanggapan itu sudah tidak relevan berikutan ramai golongan profesional mula menyertai busking sebagai punca pendapatan tambahan.

Bekas majistret, Ahmad Dzulfadzli Hamdan, 33, tidak menyesal meninggalkan kerjaya itu demi memenuhi keinginan dan hobi untuk busking.

Malah, bagi penyanyi Abot dia kini lebih selesa bergelar penyanyi jalanan bersama suaminya gitaris FTG, Jac dan menjadikan aktiviti itu sebagai punca pendapatan utama keluarga kecilnya.

Selain dua individu itu, buskers, Aliff Redza Mohd Radzi, 25, yang pernah menjadi ‘gelandangan’ selama lapan bulan berikutan tidur dalam kereta mampu tersenyum kerana kerjaya busking membuatkannya mengumpul wang pelaburan RM1 juta.

Berita berkaitan

Peguam penghibur jalanan [METROTV]

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 5:56am
d