geny

Imaginasi kepada realiti

Oleh Redzuan Muharam

Minat menonton filem aksi akhirnya menjadikan Azizul Hakim Abd Karim, 26, terjebak dengan hobi mengumpul replika mainan kereta kebal sejak tiga tahun lalu.

Katanya, minat itu juga mendorongnya untuk mengubah suai replika kereta kebal menjadi seperti disaksikan di dalam filem.

Azizul Hakim berkata, hobi itu cukup menyeronokkan kerana memberinya peluang untuk mengekspresikan idea dan kreativitinya lebih daripada sekadar berimaginasi.

“Pada awalnya, saya lebih cenderung mengumpul dan mengubah suai kereta mainan Hot Wheels namun beralih kepada replika kereta kebal kerana melihatnya lebih mencabar untuk dihasilkan.

“Ternyata ia memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila saya dapat memasang dan mengubah suai replika kereta kebal mengikut kreativiti sendiri.

“Lebih menarik apabila saya dapat mengubahsuainya berpandukan filem aksi yang ditonton,” katanya.

Menurut Azizul Hakim, selain menguji minda, hobi itu juga memberinya kepuasan dari segi lain, salah satunya peluang menyertai acara yang berkaitan dengannya.

Katanya, penyertaan dalam acara itu sekali gus membolehkannya bergaul dengan komuniti dan peminat hobi berkenaan.

“Saya suka turut serta dengan aktiviti dan acara berkaitan kerana tahu wujud komuniti yang terdiri daripada peminat hobi ini.

“Menariknya, komuniti ini agak aktif di negara ini dan tidak rugi berkenalan dengan mereka kerana banyak maklumat berguna yang diperoleh.

“Semakin lama saya menceburi hobi ini, semakin ramai kenalan baru yang saya dapat dan itu antara kepuasan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit,” katanya.

Azizul Hakim berkata, setakat ini, dia belum jemu dan akan terus setia dengan hobi yang sudah sebati dengan dirinya itu.

“Menariknya mengenai hobi ini, saya bukan setakat mengumpul dan menjadikannya sebagai barangan perhiasan di rumah. Sebaliknya, saya belajar banyak perkara termasuk cara memasang dan mengubah suai kereta kebal itu sehingga menjadi seperti yang diinginkan.

“Mungkin orang luar tidak nampak kerana kumpulan yang mempunyai minat sama tahu keistimewaan replika kereta kebal itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 12:00am
d