agro

Komersial tumbuhan ubatan

Oleh Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan Program Bicara Teknologi 2017 sebagai usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengetahuan tradisi (TK) tumbuhan ubatan Orang Asli.

Program anjuran FRIM dan United Nations Development Programme (UNDP) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bertujuan mempromosikan dua teknologi berasaskan ekstrak tumbuhan ubatan terpilih daripada TK Orang Asli.

Kedua-dua spesies tumbuhan ubatan daripada famili Zingiberaceae dan Dryopteridaceae dipilih kerana didapati berpotensi untuk aktiviti antiradang dan antidiabetik serta kelangsungan sumber bahan mentah dan kesediaan bahan tanaman.

Ia bagi mendapatkan rakan kongsi dalam usaha komersialisasi yang dijalankan secara eksklusif dengan membabitkan syarikat yang berminat untuk mengkomersialkan produk herba atau mengusahakan tanaman secara ladang.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, FRIM mengambil inisiatif untuk menjadi perintis kepada Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi tumbuhan ubatan dan beraroma.

Beliau berkata, ia diamalkan turun-temurun oleh 18 sub-etnik Orang Asli sejak 2007 dalam usaha mengekalkan serta memelihara ilmu pengetahuan tradisi yang dimiliki masyarakat Orang Asli.

“Projek Pengetahuan Tradisi yang bermula pada pertengahan 2007 sehingga kini menerima dana RM9.1 juta daripada kerajaan yang membolehkan usaha pendokumentasian tumbuhan ubatan dan beraroma terhadap semua 18 sub-etnik Orang Asli di Semenanjung dilaksanakan.

“Projek pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Orang Asli berkaitan tumbuhan ubatan dan beraroma ini merupakan projek yang unik. Projek ini membabitkan kerjasama penyelidik daripada pelbagai bidang kepakaran seperti sumber biologi, sosioekonomi, bioteknologi, kimia, silvikultur dan sebagainya.

“Projek ini adalah bengkel kesedaran berkaitan kepentingan mendokumentasikan pengetahuan tradisi dan tinjauan sosioekonomi isi rumah bagi mendapatkan maklumat penggunaan tumbuhan oleh komuniti.

“Ia diikuti pula dengan dua bengkel pembangunan kapasiti Orang Asli bagi menyediakan spesimen herbarium secara saintifik. Hingga kini, 900 Orang Asli daripada pelbagai sub-etnik sudah mengikuti kedua-dua bengkel berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis Program Bicara Teknologi 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRE, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Abd Latif berkata, ketika bengkel pembangunan kapasiti fasa dua, beberapa jenis tumbuhan ubatan turut dikutip untuk penyaringan fitokimia dan bioaktiviti bagi tumbuhan terpilih di makmal.

“Di samping mendokumenkan maklumat etno-perubatan, kesahihan aplikasi spesies tumbuhan terpilih dari sudut saintifik dan penerokaan potensi baru untuk dimajukan sebagai agen terapeutik dan kosmetik turut dilaksanakan.

“Penilaian potensi tumbuhan terpilih memfokuskan kepada aktiviti antimikrob, antioksidan, antiradang, antidiabetik, biopestisidal, antibarah dan antiprotozoa.

“Sehingga tahun lalu, 86 sampel tumbuhan dikutip dan dianalisis. Hasilnya, 33 spesies didapati mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan sebagai produk hasilan semula jadi,” katanya.

Menurutnya, daripada 33 spesies berkenaan, dua spesies tumbuhan difokuskan bagi penghasilan prototaip. Produk prototaip yang berjaya dibangunkan ialah Semelai Secret dan Pengloi Semai.

“Di bawah Program Bicara Teknologi 2017 ini, FRIM memfokuskan kepada dua teknologi penghasilan ekstrak piawaian daripada dua spesies tumbuhan terpilih iaitu daripada famili Zingiberaceae dan Dryopteridacea.

“Spesies terpilih ini berlainan daripada produk prototaip yang dilancarkan sebelum ini. Pemilihan kedua-dua spesies kali ini lebih terperinci dan menitikberatkan kelangsungan sumber dan kesediaan bahan tanaman selain didapati berpotensi untuk aktiviti antiradang dan antidiabetik,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 12:22pm
d