mutakhir

Seronok jumpa Tengku Muhammad Ismail [METROTV]

Oleh Isma Ismail

WARGA emas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Chukai mengakui tidak lena tidur semalam selepas dimaklumkan akan menerima kunjungan Yang Dipertuan Muda Terengganu, hari ini.

Osman Mamat, 76, yang berkerusi roda teruja untuk bertemu dengan Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli melawat mangsa banjir di PPS berkenaan.

"Saya sudah berusia dan tidak pernah berkesempatan untuk bertemu mata dengan orang istana sebelum ini.

"Apabila dapat tahu malam tadi bahawa Yang Dipertuan Muda Terengganu akan melawat kami di sini, saya amat gembira.

"Sedikit-sebanyak kehadirannya dapat mengubat hati kami selepas berhadapan dengan bencana banjir ini," katanya.

Tengku Muhammad Ismail berangkat ke PPS Bukit Mentok bersama adindanya, Tengku Muhammad Mu'az dan meluangkan masa selama setengah jam untuk bertemu dengan mangsa pemindahan itu.

Yang Dipertuan Muda Terengganu juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM200 kepada setiap 200 mangsa banjir di PPS berkenaan.

Penerima sumbangan, Maziah Wok, 67, berkata, kesempatan pertama kali dapat bersua dengan Yang Dipertuan Muda Terengganu cukup menggembirakannya.

"Saya bersyukur kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini.

"Terima kasih kepada baginda yang sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 12:31pm
d