utama

Terjunan tak timbul

Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: “Kami panik dan cemas apabila lihat arwah tiba-tiba terjun ke sungai walaupun tahu dia tidak pandai berenang.

“Ketika kejadian, saya turut tenggelam namun sempat diselamatkan abang saya,” kata Muhammad Zaki Rozali, 25, rakan lelaki yang lemas di Air Terjun Lata Kedondong, Batang Kali, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Akmal Jamil, 26, lemas selepas terjun sungai ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan perkelahan berkenaan.

Mayatnya ditemui di lubuk sungai sedalam tiga meter pada jam 6.10 petang selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Muhammad Zaki berkata, mereka berkunjung ke situ kerana mahu menghabiskan masa cuti bersama.

“Kami tiba jam 2 petang dan memilih ke kawasan air terjun itu yang terletak 1.5 kilometer dari jalan utama.

“Kejadian berlaku selepas sejam berada di kawasan itu apabila arwah terjun dalam sungai.

“Usaha menyelamatkan arwah yang dibantu beberapa orang awam turut gagal,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian di kampung halaman di Kedah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, operasi dijalankan pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam bermula jam 4.40 petang kelmarin.

“Mayat mangsa yang dijumpai di dasar lubuk air terjun itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 6:50am
d