mutakhir

Musang King, XO, antara 250kg durian disita [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

 

nurul.hidayah@hmetro.com.my

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Petaling Jaya menyita 250 kilogram durian dianggarkan bernilai RM6,300 bersama lima alat penimbang selepas didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam operasi dijalankan di sekitar daerah itu.

Antara jenis durian yang disita dalam operasi itu adalah Musang King, Tracka, XO, D88, D101, dan D24.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Daerah Petaling Jaya Kamaruddin Md Yassin berkata, sebanyak 38 gerai durian di sekitar Bandar Sunway, Taman Medan, SS2 dan Kampung Dato Harun diperiksa dalam operasi dijalankan kelmarin dan semalam itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan apabila empat gerai dikesan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan, manakala satu lagi gerai didapati tidak meletakkan tanda harga.

"Kesalahan dilakukan itu menyebabkan kami menyita durian jualan mereka sebanyak 250 kilogram yang dianggarkan bernilai RM6,300 bersama lima alat timbang berkenaan," katanya.

Kamaruddin berkata, operasi itu dijalankan berikutan kejadian tular mengenai timbangan durian yang mengelirukan sebelum ini.

"Tujuan operasi ini diadakan adalah untuk memeriksa dan memastikan peniaga durian mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tindakan peniaga apa jua jenis barangan yang dijual tidak mematuhi peraturan boleh menyalurkan maklumat di pejabat KPDNKK berhampiran untuk tindakan lanjut,"katanya.

 

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 2:51am
d