rap

Wawa gurau, bukannya cemburu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Aeril Zafrel, 30, menganggap kapsyen 'geng kunyit' yang ditulis isterinya, Wawa Zainal di laman Instagram miliknya sekadar gurauan.

Tegas Aeril atau Suhairil Sunari, tidak pernah terdetik di hatinya untuk menghina atau memperlekehkan golongan yang digelar 'kunyit' atau gay.

“Bukan saja bergambar, malah ramai lelaki yang komen di laman Instagram. Sebagai selebriti, saya tidak pernah mendiskriminasi peminat malah jauh sekali nak ambil tahu orientasi seks mereka.

“Baik lelaki mahu pun wanita, saya anggap mereka sebagai peminat. Saya tidak mahu ada persepsi negatif terhadap mereka. Lagi pula saya juga ada anak lelaki. Saya hormat dan hargai sokongan diberikan selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam kapsyen itu, Wawa berkata, jangan kata awek Korea, geng kunyit pun ramai geram dengan Aeril. Cuma tak sempat nak rekod. Hahahaha! Kenapa eh? Hello, bini dia kat sebelah ni.

Pengalaman itu dilalui Wawa ketika mereka sekeluarga bercuti ke Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Aeril juga tidak menafikan dia menerima mesej peribadi di laman Instagram miliknya daripada peminat lelaki.

Namun, mesej yang dihantar lebih kepada pujian dan maklum balas terhadap lakonannya dalam sesebuah drama dilakonkan.

“Setakat ini tidak ada lagi mesej pelik diterima. Kebanyakannya menyatakan rasa suka dan memuji lakonan saya dalam drama.

“Seperkara lagi, lelaki komen juga sebab tertarik dengan jambang saya. Mungkin disebabkan mereka jarang melihat pelakon memiliki jambang seperti saya,” katanya.

Aeril menjelaskan, Wawa tidak pernah cemburu atau ada masalah terhadap komen yang ditulis peminat lelaki.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 1:05pm
d