mutakhir

Puas hati harga murah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KIRA-KIRA 1,200 pengunjung membanjiri kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak bagi mendapatkan barang dapur pada harga murah sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat yang diadakan sejak 6 pagi, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati barangan dapur seperti ayam segar dijual hanya pada harga RM6.99 sekilogram, ikan kembung Q-fish (RM9 sekilogram), manakala ikan cencaru serta ikan selayang masing-masing dijual pada harga RM8 sekilogram selain susu pekat manis dijual pada harga RM2.25 setin.

Program jualan itu turut dihadiri Ahli Perlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Ibrahim Yusoff dan Penyelaras Pengguna Parlimen Setiawangsa Hairunnisa Ismail.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Halim Md Dom, 36, mengakui puas hati apabila dapat membeli barangan dapur pada harga cukup murah.

Katanya, dia amat menghargai inisiatif Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari mengadakan program berkenaan kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan rakyat.

"Kita berterima kasih kerana program ini sedikit sebanyak memang membantu kami untuk membeli barang keperluan pada harga cukup murah.

"Cuma kita harapkan, ia dapat diadakan dengan lebih kerap lagi," katanya.

Sementara itu, penduduk PPR Desa Rejang, Norasyikin Muhaimin, 44, turut mengakui puas hati apabila dapat membeli barangan seperti ayam dan ikan mentah pada harga di bawah RM10.

"Selalunya barang seperti ayam dan ikan dijual pada harga sekitar RM13 hingga RM18 dan memang tak dapat pada harga bawah RM10.

"Jadi, saya gembira hari ini bila dapat membeli barangan itu pada harga tidak sampai RM10," katanya yang membelanjakan sekitar RM30 sahaja untuk membeli barangan seperti ayam, ikan selayang, cencaru serta beberapa barangan lain.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 11:50am
d