mutakhir

Bantu meringankan beban rakyat

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PROGRAM Jualan Sentuhan Rakyat di tapak pasar malam Bandar Seri Jempol, di sini, hari ini mampu membantu meringankan perbelanjaan penduduk berikutan harga lebih rendah berbanding pasaran.

Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, program itu diharap memberi manfaat dan pada masa sama menangani kos sara hidup.

Katanya, jualan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari menyaksikan pelbagai barangan dijual antaranya ayam, ikan, minyak masak, sayur-sayuran dan beras.

"Apa yang penting, harganya lebih murah berbanding pasaran dan ia adalah ikhtiar kerajaan membantu rakyat. Bagi penduduk di Jempol, sambutannya luar biasa.

"Program sebegini dirancang diadakan pada masa depan dan kita mahu membantu golongan memerlukan," katanya ditemui selepas merasmikan program itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Kira-kira 3,000 penduduk membanjiri tapak pasar malam itu untuk mendapatkan barangan pada harga rendah.

Katanya, program itu juga diharap mendorong peniaga untuk menurunkan harga barang keperluan.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 4:25pm
d