arena

Kian Meng, Pei Jing mula teracam

Oleh Helmi Talkah

BEREGU campuran nombor satu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakui kedudukan mereka mula terancam susulan peningkatan prestasi dipamerkan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie.

Bagi Pei Jing, walaupun dia dan Kian Meng semakin mendapat rentak permainan namun ia masih belum di tahap terbaik dan mengakui Soon Huat-Shevon lebih konsisten ketika ini.

“Permainan kami bertambah baik, tetapi belum yang terbaik lagi. Kami masih mencari sebab utama kegagalan kami untuk mengekalkan tahap konsisten.

“Sudah pasti peningkatan ditunjukkan Soon Huat-Shevon membuatkan kami rasa tercabar tetapi dalam masa yang sama ia juga memberi motivasi untuk kami agar lebih bekerja keras.

“Sekarang kami pula terpaksa bekerja keras untuk menyamai prestasi mereka,” kata Pei Jing.

Permulaan 2018 menyaksikan Kian Meng-Pei Jing dikecewakan Soon Huat-Shevon yang menang ke atas mereka ketika bertemu antara satu sama lain pada suku akhir Masters Malaysia dan Masters Indonesia.

Pada saingan Terbuka India minggu lalu pula menyaksikan Kian Meng-Pei Jing tersingkir di pusingan kedua manakala Soon Huat-Shevon berjaya mara sehingga suku akhir.

Ketika ini, Kian Meng-Pei Jing memegang status beregu campuran satu Malaysia apabila menghuni ranking ke-10 dunia diikuti Soon Huat-Shevon di kedudukan ke-12.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang kembali bergandingan awal tahun ini semakin menghampiri kedudukan kedua-dua pasangan berkenaan apabila sudah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Kian Meng-Pei Jing bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila mereka disenaraikan ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan selain Peng Soon-Liu Ying.

Bagaimanapun, tempat untuk mereka ke Sukan Asia Indonesia dan Kejohanan Dunia di Nanjing, China masih belum selamat dengan pintu masih terbuka buat Soon Huat-Shevon untuk merebut tempat.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 6:55pm
d