utama

Kenangan terindah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Tok Batin Kampung Orang Asli Landai, Abdul Rahim Marat Hawa dan dua anak perempuannya antara 16 saudara baru Orang Asli berkahwin serentak di Kampung Meranti, dekat sini, semalam.

Program sempena ziarah dakwah, walimatulurus dan pemantapan akidah itu anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) cawangan Pahang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA), Pejabat Perdana Ahli Parlimen Pekan dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pekan.

Abdul Rahim, 61, ketika ditemui berkata, beliau mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Rositah Abdullah, 19 yang berasal dari Kampung Orang Asli Runchang, selepas tiga tahun isterinya meninggal dunia.

“Kemeriahan majlis perkahwinan ini lebih bermakna apabila dua anak perempuan saya (Rahimah, 31 dan Rahmah, 27) turut mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing.

“Saya bersyukur majlis perkahwinan hari ini dibiayai sepenuhnya oleh MUIP yang menyediakan sepasang baju Melayu dan kain sampin, selain hadiah daripada JAKOA dan pejabat Ahli Parlimen Pekan,” katanya.

Dia yang mempunyai lima anak hasil perkahwinan pertama juga tidak menyangka perkahwinan kali kedua ini diadakan secara serentak dengan dua anak perempuannya dalam suasana meriah disaksikan ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Majlis penutup program dua hari itu disempurnakan Pegawai Tadbir MUIP, Ahmad Aman Saifuddin.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, selain majlis perkahwinan lapan pasangan, pelbagai aktiviti lain diadakan sepanjang program seperti ziarah dakwah, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan karaoke.

Katanya, lapan pasangan Orang Asli terbabit dinikahkan Kadi Daerah, Ahmad Nizam Abdul Manan yang turut memberi ceramah ringkas berkaitan tanggungjawab suami isteri dan tanggungjawab pada agama.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 7:48am
d