REZA (kiri) menunjukkan aplikasi Slurp.

Bangi: Silent Mode Sdn Bhd pencipta aplikasi Slurp menyasarkan 400 kafe dan restoran di negara ini bakal memanfaatkan aplikasi terbabit yang merubah gaya hidup memesan makanan di premis perniagaan masing-masing.

Slurp membenarkan pelanggan masuk ke restoran, duduk di meja dan memesan makanan tanpa perlu menunggu pelayan datang atau beratur di kaunter.

Pengarahnya, Reza Razali berkata, idea terbabit dilakukan dengan sistem ‘point of sale’ (POS) moden berasaskan perkomputeran ‘cloud’ sepenuhnya dinamakan Slurp.

“Pelanggan akan dimaklumkan proses penyediaan makanan jadi tidak perlu risau atau takut chef terlupa menyediakan masakan atau pesanan anda tidak sampai,” katanya.

Katanya, sistem berasaskan cloud terbabit yang hanya memerlukan pelanggan memindah turun aplikasi secara percuma.

“Pada masa sama, aplikasi terbabit juga membolehkan pelanggan melihat restoran berdaftar dengan Slurp yang berada di sekitar mereka,” katanya.

Beliau berkata, konsep baru ini juga tidak memerlukan pelayan yang ramai untuk mengambil pesanan dan pekerja restoran atau kafe boleh menumpukan usaha menyediakan makanan.

Reza berkata, trend penggunaan telefon pintar yang kian meningkat dilihat mampu membantu industri makanan dan minuman (F&B) di negara ini mencapai pertumbuhan itu.

“Pemilik restoran atau kafe hanya memilih platform yang berkesan secara berterusan tanpa perlu melabur pada perkakasan dan perisian teknologi maklumat yang meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:29 AM