POLIS mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Klang untuk menjejaki ahli kumpulan kongsi gelap. FOTO ihsan polis
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan di sekitar Klang, semalam susulan pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap di Telok Panglima Garang, Banting, baru-baru ini.

Dua daripadanya ditahan di Taman Sentosa manakala seorang lagi di Bukit Tinggi dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan itu berikutan pihaknya meningkatkan operasi mengesan ahli kumpulan terbabit.

"Selepas kejadian itu Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan mengadakan sekatan jalan raya, pemeriksaan rumah, tempat berkumpul dan pusat hiburan yang dipercayai menjadi tempat pertemuan dan berhibur ahli kumpulan kongsi gelap berkenaan," katanya.

Dalam kejadian 3 pagi 10 Februari lalu, lelaki berusia 35 tahun maut selepas ditetak sekumpulan lelaki yang menyerangnya ketika sedang minum di depan kedai di Telok Panglima Garang.

Sabtu lalu, seorang lagi ahli kongsi gelap berusia 26 tahun maut ditembak di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 6:43 PM