global

Rempuh kedai Sikh disangka milik Muslim

Oleh Agensi

Louisiana : Seorang bekas pembantu syerif simpanan berdepan tuduhan jenayah kebencian kerana merempuh sebuah kedai runcit kerana menyangka pemiliknya yang beragama Sikh adalah Muslim.

Chad Horsley, 27, ditahan Isnin lalu dan didakwa atas tuduhan jenayah kebencian, kerosakan jenayah terhadap harta benda dan khianat jenayah, selain dua tuduhan menyamar sebagai anggota keamanan.

Akhbar Baton Rouge Advocate melaporkan dia dibebaskan dengan jaminan AS$56,000 (RM219,000).

Menurut Huffington Post, kedai disasarkan Horsley di Louisiana itu dimiliki keluarga Sikh yang kerap menjadi sasaran golongan yang menyangka mereka beragama Islam.

Anak saudara pemilik kedai berkenaan, Harjot Singh mengutuk kejadian itu.

“Sekalipun mereka Muslim dia tidak sepatutnya berbuat begitu. Semua orang cuma mahu mencari rezeki di sini,” katanya.

Washington Post memetik kenyataan syerif yang dimuat naik ke Facebook berkata: “Horsley menyalahkan orang Islam atas kematian rakan tenteranya di luar negara.

“Dia juga menganggap orang Islam hidup lebih senang sedangkan dia yang pernah berkhidmat untuk negara terpaksa melalui pelbagai kesusahan.”

New York Daily News melaporkan Horsley menyertai Marine Corps Reserve pada 2014 tetapi ditamatkan perkhidmatannya pada Disember lalu kerana penyakit hati.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 4:12pm
d