global

Myanmar bina pos tentera di Rakhine

Oleh AFP

Yangon: Amnesty International (Amnesty) meragui keikhlasan kerajaan Myanmar untuk menerima kembali ratusan ribu pelarian selepas negara itu membina kemudahan tentera di perkampungan Rohingya yang dimusnahkan.

Hampir 700,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine menuju ke Bangladesh selepa tentera Myanmar melancarkan serangan balas terhadap pemberontak enam bulan lalu dengan membakar kampung dan membunuh penduduk.

Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan berkenaan yang dianggap sebagai satu pembersihan etnik.

Bagaimanapun, Myanmar menolak dakwaan itu dan mendakwa ia dilancarkan susulan serangan oleh Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA).

Dalam laporan terbaru Amnesty yang bertajuk ‘Pembinaan Semula Negeri Rakhine’, memaparkan imej satelit dan temuramah yang mendedahkan pembinaan pelbagai infrastruktur ketenteraan sejak awal tahun ini, yang didakwa pengkaji sebagai satu tindakan ‘merampas tanah’.

“Terdapat bukti baru seperti yang dilaporkan oleh Amnesty dalam hasil kajian terbaru, menunjukkan pihak berkuasa Myanmar membina kemudahan baharu di atas setiap tapak milik penduduk Rohingya.

“Malah, dalam beberapa keadaan kediaman yang masih ada turut dimusnahkan,” kata pengarah tindak balas krisis Amnesty, Tirana Hassan kepada AFP.

Walaupun mengakui imej itu tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di Rakhine, kumpulan hak asasi itu berkata, struktur bagi kegunaan pasukan keselamatan, landasan untuk helikopter dan jalan raya terbabit dibina di atas tanah serta bangunan milik penduduk Rohingya yang musnah dalam kebakaran.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 12:38pm
d