hati

Teknik solekan ringkas

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Solekan lazimnya untuk menutup cela pada wajah. Jika diteliti, sebenarnya tidak ramai wanita yang bersolek semata-mata untuk tampil cantik. Ada mengenakan solekan nipis bagi menaikkan seri wajah, tidak kurang juga yang bersolek tebal untuk tampil menarik pada majlis dan acara tertentu.

Tidak kira apa pun jenis solekan yang dipilih, semuanya bertujuan menyempurnakan wajah. Bagaimanapun, dalam ribuan pilihan alat solek kini, masih ramai yang gagal mencapai kepuasan bermekap kerana masalah ton kulit tidak sekata, lingkaran gelap bawah mata dan parut jerawat.

Menurut jurusolek artis, Intan Nabila Syafinaz Kaharuddin (@intankaharuddin) perkara paling utama dalam dunia solekan adalah ilmu dan pengalaman. Sama seperti rutin penjagaan diri yang lain, solekan menuntut seseorang untuk peka kepada bentuk wajah, keperluan kulit dan trend semasa.

“Masalah utama wanita setiap kali di depan cermin adalah memilih asas solekan, menyembunyikan cela, lingkaran hitam dan parut jerawat serta membentuk kening.

“Kalau mengikut trend solekan hari ini, tidak ada lagi konsep menipiskan kening, membentuk dengan mencukur dan sebagainya. Solekan kini lebih ringkas dan mudah dengan pelbagai pilihan asas serta teknik.

“Untuk menangani masalah lingkaran gelap bawah mata, gunakan pembetul warna kulit rona jingga. Oles sekata sebelum memakai bedak asas. Begitu juga dengan parut jerawat. Jika parutnya hitam atau gelap, oles pembetul warna kulit rona jingga dan jika parutnya kemerahan, gunakan rona hijau,” katanya.

Jelas Intan, ada banyak teknik solekan yang boleh digunakan wanita untuk mendapatkan wajah bersih berseri. Namun, diingatkan supaya tidak berlebihan untuk mendapatkan hasil sempurna dan semula jadi.

“Bagi mendapatkan hasil solekan segar, pilih pemerah pipi rona pic atau merah jambu lembut. Kemudian, aplikasi pembayang mata warna pic kemerahan diadun rona perang keemasan pada hujung kelopak.

“Kemudian bentuk wajah dengan sapuan pembayang di bahagian tulang pipi, rahang dan hidung. Bagi mereka yang sukakan gaya solekan ringkas, lupakan saja fungsi pembayang. Melengkapkan solekan, pilih gincu rona ceria seperti pic, nude atau merah jambu dan rapikan dengan pengilat bibir,” katanya.

Kata Intan, solekan ringkas mungkin tidak memerlukan bulu mata palsu, sebaliknya boleh disempurnakan dengan sapuan dua atau tiga lapis maskara.

“Akhir sekali, dengan menggunakan berus, oles bedak tabur untuk menampakkan solekan lebih segar dan sekata. Sebagai alternatif, gunakan penyerlah wajah di bahagian atas tulang pipi dan hidung,” katanya.

Tip

1. Pelembap adalah kunci utama solekan. Pastikan memakai pelembap yang cukup supaya solekan tidak retak.

2. Bagi solekan segar, elakkan menggunakan bedak asas jenis liputan penuh.

3. Amalkan penggunaan bedak lut cahaya untuk hasil solekan sempurna.

Langkah-langkah

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 10:47am
d