mutakhir

Kerusi Parlimen, Azlan tolak spekulasi

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DESAS-DESUS mengatakan bahawa Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bakal bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah spekulasi.

Azlan berkata, senarai calon yang bakal bertanding hanya akan diketahui pada 28 April ini.

“Saya rasa ini adalah satu spekulasi sebab saya difahamkan belum ada keputusan muktamad berhubung calon yang bakal bertanding pada PRU-14.

“Saya jangka senarai calon akan dimuktamadkan menjelang 28 April ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kangar, hari ini.

Terdahulu tular di aplikasi ‘Whatsapp’ satu senarai nama calon yang bakal bertanding pada PRU-14 di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Pada senarai itu, nama Azlan diletakkan bakal bertanding di Parlimen Kangar dari DUN Pauh sebelum ini manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal diletakkan di DUN Tambun Tulang.

Sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa Shahidan bakal diangkat menjadi Menteri Besar sekali lagi selepas kali terakhir menjawatnya pada 2008.

Senarai itu turut meletakkan hampir lebih 50 peratus muka baharu yang bakal bertanding malah majoriti penyandang yang bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri digugurkan.

Sementara itu, Azlan berkata, BN Perlis sudah bersedia untuk menghadapi PRU-14 pada Mei ini dan persediaan sudah dibuat sejak setahun yang lalu malah beliau yakin BN akan memerintah Perlis pada penggal akan datang.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 11:06pm
d