mutakhir

Chong Wei berseragam TLDM

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuala Lumpur: Kehadiran pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ke Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam, menarik perhatian pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersamanya.

Malah, sebaik memasuki ruang legar MITEC sekitar jam 12.15 tengah hari, Chong Wei lengkap berpakaian seragam dan menyandang pangkat Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) terus diserbu peminat yang menyedari kehadirannya.

Terdahulu, kehadiran Chong Wei yang baru saja memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 disambut Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, selain Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sepanjang melawat kawasan pameran DSA dan NATSEC, orang ramai membabitkan anggota pasukan beruniform serta pempamer tempatan dilihat mengerumuni Chong Wei dengan harapan dapat berswafoto bersamanya.

Selain itu, pempamer dari luar negara juga dilihat tidak melepaskan peluang bergambar dengan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei dilihat tidak kisah melayani kehendak peminatnya dan beramah mesra bersama mereka.

Dalam sesi lawatan itu, Chong Wei meluangkan masa hampir dua jam ke ruang pameran DSA dan NATSEC 2018.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:11am
d