mutakhir

PAS Pulau Pinang kemuka 24 calon

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

PAS Pulau Pinang mempertaruhkan 24 calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membabitkan 18 calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam lagi di kerusi Parlimen.

Pengumuman itu dibuat Pesuruhjaya PAS negeri Fauzi Mohd Yusof pada Majlis Pengisytiharan Calon bagi Parlimen dan DUN Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS negeri di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam ini.

Fauzi berkata, senarai calon PAS Pulau Pinang diumumkan itu bagaimanapun belum mengambil kira bilangan akan dikemukakan daripada parti komponen dalam Gagasan Sejahtera yang juga akan bertanding menggunakan logo parti Islam berkenaan.

“Timbalan Ketua Dewan Muslimat negeri, Siti Mastura Muhamad dicalonkan di Parlimen Kepala Batas manakala Rizal Hafiz Ruslan di Parlimen Tasek Gelugor.

“Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim pula dicalonkan di Parlimen Bayan Baru; bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Helmi Haron (Parlimen Nibong Tebal) dan Muhammad Imran Muhammad Saad (Parlimen Balik Pulau)," katanya.

Pada majlis sama, Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang turut menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada setiap calon mereka di kerusi DUN dan Parlimen sebagai persediaan untuk berkempen.

Minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon di Parlimen Permatang Pauh.

Fauzi berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Bukhori Ghazali dicalonkan bagi kerusi DUN Pinang Tunggal; Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah (DUN Penaga); Bendahari PAS negeri, Moktar Ramli (DUN Bertam).

Beliau berkata, Mohd Sobri Saleh dicalonkan bagi kerusi DUN Permatang Berangan; Zahadi Mohd (DUN Sungai Dua); Mohamad Hanif Haron (DUN Teluk Air Tawar); Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Rafaei A Rashid (DUN Seberang Jaya).

“Saya sendiri dicalonkan di DUN Permatang Pasir, manakala Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (DUN Penanti); Norazman Ishak (DUN Bukit Tengah); Osman Jaafar (DUN Sungai Bakap); Nor Zamri Latiff (DUN Sungai Acheh); Yang Dipertua PAS Tanjong, Yaacob Omar (DUN Sungai Pinang).

“Mohd Farhan Yusri pula dicalonkan di DUN Pantai Jerejak; aktivis alam sekitar, Saiful Lizan Md Yusoff (DUN Batu Maung); Zarina Shinta Madar (DUN Bayan Lepas); Mohd Taufik Hashim (DUN Pulau Betong) dan Mohd Ali Othman (DUN Teluk Bahang),” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 1:00am
d