global

Israel sebar risalah amaran

Oleh Reuters

Gaza: Israel buat kali pertama menggugurkan risalah di Semenanjung Gaza semalam, memberi amaran kepada penduduk Palestin agar tidak menghampiri pagar sempadan jika tidak mahu ditembak tentera Zionis.

Risalah itu digugurkan berikutan setiap Jumaat, ribuan penduduk Palestin berkumpul di sempadan dengan Israel sempena ‘Perhimpunan Perarakan Pulang’ selama enam minggu, bermula awal bulan ini.

Sehingga kini, 31 penduduk Palestin mati ditembak tentera Israel - tindakan yang dikecam masyarakat antarabangsa kerana Israel menggunakan peluru hidup menembak penunjuk perasaan yang tidak bersenjata atau bertindak ganas.

Ratusan lagi cedera akibat ditembak, sama ada oleh peluru hidup atau peluru getah serta gas pemedih mata. Israel menempatkan ratusan penembak tepat sepanjang sempadannya dengan Gaza.

“Hamas mengambil kesempatan terhadap kamu dalam usahanya melancarkan serangan pengganas. IDF (Tentera Pertahanan Israel) bersedia untuk semua kemungkinan.

“Jauhi pagar dan jangan cuba merosakkannya,” bunyi tulisan pada risalah berkenaan yang digugurkan pesawat Israel.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 3:06am
d