mutakhir

Ini baru rakyat 'first class'

Oleh Recqueal Raimi

SEBANYAK 35 kilogram (kg) sampah dikutip penduduk Taman Telipok Ria Fasa 1 dan 2 sempena program khidmat komuniti gotong-royong, di Tuaran, pagi tadi.

Program bermula 8 pagi hingga 11.30 pagi itu disertai 50 penduduk bagi membersihkan persekitaran 10 blok pangsapuri sebagai langkah menjaga kebersihan kawasan berkenaan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Telipok Ria, Anita Abdullah berkata, program diadakan lima kali setahun itu adalah usaha menyahut seruan kerajaan yang meminta semua pihak membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Perumahan ini dihuni oleh penduduk pelbagai peringkat umur. Jadi untuk menghindari penduduk daripada dijangkiti demam denggi, kami mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan secara berkala supaya persekitaran sentiasa bebas dari penyakit," katanya ditemui di sini, pagi tadi.

Menurutnya, program itu juga diadakan sempena cuti Hari Pekerja yang mana selain mengutip dan menyapu sampah, penduduk membersihkan longkang dan kawasan yang mempunyai takungan air.

"Pada masa sama, saya menggesa penduduk kawasan berhampiran agar bersama-sama menjalankan program ini untuk kebaikan bersama," katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 3:29pm
d