mutakhir

Maritim Malaysia selamat nelayan Kemboja

Oleh Zaid Salim

AWAK-AWAK warga Kemboja yang ketakutan selepas tekong bot didakwa mengugut mahu menembaknya nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, mangsa dikenali sebagai Daa, 32, bernasib baik apabila diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas hampir 24 jam berada di laut.

Pengarah Maritim Daerah Maritim (DM) 9 Kuala Terengganu Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung pada jarak empat batu nautika dari Pelantar Angsi pada 2 pagi Ahad lalu.

“Ketika ditemui mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan terapung di permukaan air sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kemaman.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan berikutan terdapat kesan lecur pada tubuhnya dipercayai akibat panas matahari,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai nelayan dikatakan bertindak terjun ke laut selepas mendakwa tekong bot mengugut mahu menembaknya.

Katanya, mangsa yang menerima rawatan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses dokumentasi.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 8:59pm
d