mutakhir

Aminuddin sah MB Negeri Sembilan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Aminuddin, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 10.40 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin.

Hadir sama Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah dan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Aminuddin sebelum itu menghadap Tuanku Muhriz bagi menyerahkan watikah pemilihannya sebagai Menteri Besar, pada Khamis lalu.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 11:32am
d