mutakhir

Jerit 'tolong' sebelum tenggelam

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

REMAJA lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia akibat lemas di Tali Air 7, Sungai Labu, Sekinchan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, Muhammad Shahniq Abdul Latiff bersama tiga lagi rakannya sebelum itu berada sekitar kawasan berkenaan, 3.20 petang.

“Ketika kejadian, mereka sedang mandi sebelum seorang daripadanya terdengar jeritan meminta tolong oleh mangsa yang kemudian tenggelam,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari Muhammad Shahniq.

“Mayat mangsa kemudian ditemui di bawah rimbunan rumput kangkung berhampiran lokasi lemas pada 6.30 petang,” katanya.

Kata Nor Azmi, jenazah Allahyarham yang berasal dari Sungai Besar dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 12:53pm
d