arena

'Chong Wei sandaran utama'

Oleh Daripada Fabian Peter

PEMAIN beregu lelaki negara, Goh V Shem menegaskan Datuk Lee Chong Wei kekal sandaran utama Malaysia bagi menghadapi saingan Piala Thomas yang berlangsung minggu ini.

 V Shem berkata, prestasi Chong Wei mampu mempengaruhi pasukan yang boleh menentukan keputusan dalam perlawanan.

 Walaupun usia bakal mencecah 36 tahun, Chong Wei masih menggalas tugas perseorangan pertama Malaysia dan harapan tinggi diletakkan di atas bahunya bagi membantu skuad negara yang dijangka menjadi penampilan terakhirnya dalam kejohanan berprestij itu.

 "Jika Chong Wei tidak memenangi mata pertama, seluruh Malaysia sudah tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Saya tidak perlu jelaskannya lagi.

 "Tahun ini, kami hadir dalam kejohanan ini sebagai pasukan underdog, tetapi kami tidak boleh menyerah kalah. Semua pemain ada peranan masing-masing, kami perlu sentiasa yakin," kata V Shem yang akan menggalas tugas sebagai beregu nombor satu bersama pasangannya, Tan Wee Kiong.

 V Shem turut menegaskan kekecewaan yang dialami ketika saingan berpasukan campuran pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April lalu perlu dilupakan dan ia tidak boleh dibandingkan dengan kempen Piala Thomas.

 "Sukan Komanwel sesuatu yang berbeza dan ia sudah berakhir. Kami tidak fikir dan bercakap mengenainya lagi.

 "Piala Thomas saingan membabitkan lebih banyak negara termasuk negara kuasa besar. Semua orang perlu berikan yang terbaik.

 "Saya dan Wee Kiong juga menjadi lebih matang pada 2016 selepas memenangi pingat perak Olimpik Rio dan selepas itu muncul juara Terbuka Denmark dan Siri Super Akhir di Dubai," katanya.

 Selain V Shem-Wee Kiong, pemain beregu lain yang turut disenaraikan dalam pasukan kali ini ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Mohd Arif Latif.

 Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Denmark, Russia dan Algeria.

 

 

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 8:21pm
d