mutakhir

Ajal dalam teksi terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PEMANDU teksi maut selepas terperangkap di dalam teksi yang terbakar di pusat beli-belah di USJ 1, Subang Jaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.58 pagi itu, mangsa, Tan Chee Kiong, 44, ditemui maut dalam kereta terbabit oleh orang awam sebelum menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Jaafar Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.58 pagi sebelum satu jentera bersama 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, kerja-kerja pemadaman dilakukan dan api berjaya dipadamkan kira-kira 10 minit kemudian.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan menemui seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kereta yang dinaiki mangsa terbakar kira-kira 80 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 10:14am
d