Lokasi kejadian tetak dua pengawal di Bukit Kemandul, Teluk Panglima Garang, semalam.

Banting: Seorang pengawal keselamatan ‘bermandi darah’ selepas ditetak sehingga mati manakala rakannya cedera di bahagian tangan sebelum berjaya melarikan diri ketika bertugas dalam kejadian di sebuah tapak projek di Bukit Kemandul, Teluk Panglima Garang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mangsa maut di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azman Abdul Razak berkata, sebelum kejadian dua pengawal warga tempatan itu sedang bertugas sebelum didatangi empat lelaki.

“Seorang pengawal yang berada di luar pondok pengawal sempat melarikan diri selepas ditetak di bahagian tangan namun rakannya yang berada di dalam pondok ditemui meninggal dunia dengan pelbagai kesan tetakan pada anggota badan.

“Mangsa berusia 50 tahun dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azman berkata, siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan perebutan kawasan kawalan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat tidak memanipulasi kes itu supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dengan fakta kes.

“Polis menolak sebarang unsur perkauman dalam kes ini dan meminta masyarakat tidak memanipulasi kes demi kesejahteraan umum.

“Sehingga kini, empat lelaki sudah ditahan di sekitar Kuala Langat bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:28 AM