vroom

Sentiasa berganding bahu

Oleh Mohd Razlan Salleh

Setiap kali tiba Ramadan, pasti ada segelintir anggota masyarakat kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang Aidilfitri. Ini kerana sudah pasti perayaan Aidilfitri adalah kemenangan kepada umat Islam yang cekal menjalani ibadah puasa, begitu juga keterujaan kanak-kanak menyambut Syawal.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Edisi Khas Ramadan diteruskan dan kali ini bertempat di Mukim Tanjung Kupang, Johor pada 25 Mei lalu. Seramai 27 sukarelawan gabungan kakitangan Bahagian Pengarang Harian Metro dan Briged Sukarelawan The New Straits Times Press (NSTP) berkampung di situ.

Program diketuai Pengerusi TKHM merangkap Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP, Othman Mamat dengan disertai Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Talib dan Pengarang Eksekutif Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein.

Oleh kerana lokasi TKHM kali ini di selatan tanah air yang memakan masa hampir lima jam memandu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd menawarkan empat kenderaan pelbagai model sebagai rakan penaja kenderaan rasmi projek.

Antaranya kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dan Sienta serta pikap Hilux 2.8L selain Toyota Vios. Model berkenaan dipilih bukan saja atas faktor perjalanan kebanyakannya menyusuri lebuh raya, malah praktikaliti yang ada pada setiap model Toyota.

Misalnya, model MPV Innova dan Sienta, selain menawarkan perjalanan selesa, kedua-dua model ini turut digunakan untuk membawa #HMKotakRezeki untuk diedarkan kepada penduduk setempat. Mujur keluasan kedua-dua MPV ini digunakan sepenuhnya apabila cuaca hujan sepanjang hari pengedaran pada 26 Mei.

Sementara itu, #HMKotakRezeki yang lebih besar untuk penduduk miskin dimuatkan ke pikap Hilux. Sebanyak 20 kotak seberat lebih 50 kilogram setiap satu berjaya dimuatkan ke dalam ruang kargo.

Sepanjang menyusuri laluan luar bandar dengan bebanan kargo yang penuh, tiada kekurangan kuasa dirasai.

Selain itu, sedan terlaris Vios tetap mencuri tumpuan ramai apabila model GX menawarkan pemanduan terbaik walaupun dinaiki empat penumpang dewasa.

Paling menarik, semua kenderaan ini kekal sebagai jenama pilihan ramai dengan keselesaan maksimum, praktikaliti dan pastinya nadi enjin yang menjanjikan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya.

Minggu ini, TKHM akan berkampung di Sik, Kedah dan sudah pasti keupayaan barisan model Toyota banyak membantu lagi.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 9:42am
d