mutakhir

Parah ditetak ketika sedang makan

Oleh Junaidi Ladjana

DUA penarik kereta parah akibat dibelasah lebih 10 lelaki menggunakan pedang samurai dan kerusi plastik dalam pergaduhan di sebuah restoran di Penampang Baru, Penampang, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun cedera di kepala dan lebam pada badan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1).

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang makan dengan seorang rakan mereka di restoran bersebelahan sebuah pusat hiburan.

“Secara tiba-tiba, mereka didatangi oleh sekumpulan lebih 10 lelaki lalu berlaku pertengkaran sebelum tercetus pergaduhan.

“Salah seorang mangsa dipukul beramai-ramai menggunakan kerusi plastik dan seorang lagi mangsa ditetak di kepala menggunakan pedang samurai,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Semua suspek yang memukul kedua-dua mangsa terus melarikan diri, manakala mangsa dibawa ke HQE 1 untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan semua 11 suspek termasuk ketua mereka dan punca kejadian belum dapat dipastikan kerana mangsa masih belum sedarkan diri,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 4:45pm
d