mutakhir

Ajal rempuh paip besi

Oleh Norasikin Daineh

LELAKI lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh saluran paip besi di tepi jalan di Kilometer 14, Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu, Papar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa Abdul Raham Yunus, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta Perodua Axia yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, mangsa yang memandu bersendirian dari arah Kota Kinabalu menuju ke pekan ini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar saluran paip besi di tepi kanan jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ladamah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.36 pagi dan sebaik tiba, mangsa ditemui tersepit dalam kenderaan.

“Operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan dan badan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 1:14pm
d