mutakhir

Lori tangki terbalik, diesel tumpah

Oleh Amran Yahya

LORI tangki membawa muatan 16,000 liter diesel terjunam ke dalam gaung selepas bertembung dengan kereta di Kilometer 7, Jalan Kuala Pilah–Batu Kikir berhampiran kampung Pelangai Hilir, Kuala Pilah, hari ini.

Kejadian 7.40 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Kuala Pilah berkenaan hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga FLX yang datang dari arah Batu Kikir.

Kedua-dua pemandu kenderaan terbabit cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni ketika ditemui di lokasi berkata, tiga pegawai serta 12 anggota dengan sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.46 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mengeluarkan pemandu lori tangki yang tersepit di tempat duduk pemandu di dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter itu.

“Kemalangan itu mengakibatkan tumpahan sebahagian muatan diesel yang mengalir ke sungai berhampiran dan kita masih memantau keadaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 1:57pm
d