rap

Syuhada tak cemburu Wani Kayrie

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Syuhada Md Amin, 22, mengakui dia sedikit pun tidak berasa cemburu dengan populariti dikecap rakan satu syarikat rakamannya, Wani Kayrie, 18.

Syuhada dan Wani yang bernaung di bawah Suria Records (SRC) memberitahu dia sentiasa yakin dengan rezeki yang ditetapkan Allah SWT.

"Saya tidak pernah pun berasa cemburu dengan kejayaan Wani yang hingga kini lagu nyanyiannya popular dan diminati ramai.

"Bagi saya, Wani berhak memiliki populariti untuk lagunya kerana dia juga seorang yang kuat berusaha. Lagipun, sudah rezekinya.

"Ditambah, Wani juga pernah mengalami nasib seperti saya yang mana dua lagunya selepas single Jangan Jangan tidak menjadi perhatian," katanya.

Menurut Syuhada yang pernah dikenali dengan single Bukan Dia, apa yang pasti rezeki Wani untuk kembali popular semula lebih awal daripadanya menerusi single Aku Suka Kamu.

"Untuk saya, nampaknya kena teruskan usaha hingga mendapat single baru yang mungkin boleh diterima baik peminat selepas ini.

"Yang penting, saya tidak boleh patah semangat atau cepat putus asa dan kecewa. Ini kerana, ujian saya mungkin berliku.

"Bukan mudah untuk saya membina nama dan popular dalam karier seni ini dalam masa singkat. Apupun, ada saja penyanyi yang saya lihat ambil masa lebih 10 tahun untuk popular.

"Apa yang penting sekarang untuk saya fikirkan adalah mendapat lagu yang baik termasuk bagaimana mahu terus kekal bertahan kerana industri sentiasa menerima bakat baru," katanya.

Terdahulu, Syuhada yang sebelum ini dikenali sebagai Wada pernah menyandang gelaran juara Idola Kecil TV9 pada 2008 itu.

Sudah muncul dengan tiga single, Syuhada atau nama sebenarnya Wan Syuhada Md Amin juga pernah menyertai pertandingan D'Academy Asia (DAA) yang berlangsung di Jakarta, dua tahun lalu.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 12:33pm
d