mutakhir

Program korban TKHM meriah [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

BAGI berkongsi keceriaan menyambut Aidiladha, program korban Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2018 menumbangkan 14 ekor lembu di Masjid Ar-Rahimah, Gombak, hari ini.

Program dengan kerjasama Takaful Ikhlas Berhad turut disertai 70 sukarelawan Persatuan Seni Silat Cekak (PSSCM) Malaysia.

Selain itu, lebih 1,000 kariah Masjid Ar-Rahimah dari sekitar Gombak turut memeriahkan majlis dengan acara gotong-royong menyembelih dan melapah daging korban.

Seramai 40 asnaf turut menerima sumbangan wang zakat, daging korban dan Kotak Rezeki sumbangan Harian Metro serta Takaful Ikhlas.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful Ikhlas Eddy Azly Abidin berkata, program korban kali kedua bersama Harian Metro adalah sebahagian program komuniti di bawah segmen kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

"Kita menyumbangkan 12 ekor lembu hasil penyertaan kakitangan untuk golongan kurang berkemampuan di samping mengagihkan bantuan daging korban.

"Kebanyakan penerima sumbangan daripada keluarga fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal selain penerima daging korban membabitkan 1,000 kariah masjid ini," katanya.

Katanya, pihaknya turut menyumbangkan wang zakat dan kotak rezeki berbentuk makanan asasi kepada 40 asnaf terpilih.

"Program menyembelih bermula jam 8 pagi dan selesai melapah serta mengagihkan pada jam 3 petang," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama diberikan Harian Metro bersama jemaah masjid yang menjayakan program demi meraikan mereka kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (NSTP) Othman Mamat berkata, NSTP menyumbangkan dua ekor lembu hasil penyertaan kakitangan syarikat akhbar itu.

"Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak program berjalan lancar, malah berjaya mengagihkan 1,000 bungkusan daging korban kepada penduduk sekitar.

"Kita turut mengagihkan 10 kotak rezeki Harian Metro khas untuk asnaf terpilih," katanya.

Sementara itu, Nazir masjid berkenaan, Abd Rahman Satam mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana memilih masjid berkenaan sebagai lokasi untuk program berkenaan.

"Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang sudi membantu, menjayakan dan mendoakan majlis ini berjalan lancar kerana akhirnya ini untuk komuniti di sini, sekali gus mengukuhkan lagi jalinan ukhwah sesama masyarakat Islam," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 8:26pm
d