mutakhir

'Malaysia di hatiku' [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SERAMAI 297 murid pelbagai kaum dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin, Ampang Baru, Ipoh membuat formasi berbentuk hati sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Kesemua murid tahun satu hingga enam dengan dibantu 35 guru menghasilkan formasi bentuk hati dan angka 61 di tengah padang sekolah itu, pagi ini.

Sebelum itu, program seawal jam 8 pagi itu dimulakan dengan perhimpunan pelajar di pentas utama bagi menyanyikan lagu Negaraku dan lagu patriotik Tanggal 31 sebelum bergerak masuk ke padang bagi menyempurnakan formasi berkenaan.

Sebaik formasi berjaya dibentuk, masing-masing mengibarkan Jalur Gemilang sambil melaungkan perkataan ‘Merdeka’.

Guru Besar sekolah berkenaan, Ng Kit Chee berkata, acara julung kali diadakan itu bertujuan mendidik dan membina semangat cintakan negara dalam kalangan murid.

“Murid di sekolah kami terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, India, Melayu, Kadazan, Iban dan Bidayuh.

“Jadi, melalui perhimpunan ini (membentuk formasi hati) ia dapat menerapkan semangat perpaduan, perasaan menghormati dan cintakan negara sepanjang masa walaupun murid sudah menamatkan sesi persekolahan nanti,” katanya.

Ng berkata, idea dicetuskan oleh guru bagi membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan murid dan mereka mengambil masa seminggu untuk berlatih bagi membentuk formasi berkenaan.

“Selain itu, sekolah turut menyusun pelbagai program sepanjang menjelang hari kebangsaan seperti pertandingan melukis poster dan seni kaligrafi,” katanya.

Murid Tahun 6, Marvick Nick Mierza, 12, berkata, dia bersama rakan sekelas teruja dan tidak sabar untuk membentuk formasi hati berkenaan.

“Ayah saya seorang askar, ia buat saya jadi lebih bersemangat untuk mengikuti acara ini,” katanya yang juga berketurunan Iban.

Rakannya, Khairul Ammar Khalil Aznan, 12, pula berkata dia bersemangat apabila melihat rakan saling bekerjasama menghasilkan formasi.

“Saya seronok dapat bersama-sama dengan kawan buat bentuk hati tadi, saya sayangkan semua orang dan saya sayangkan negara saya,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 11:46am
d