mutakhir

'Tak mengaku terima deposit secara haram' [METROTV]

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini atas tuduhan menerima wang deposit pelaburan tanpa lesen sah di sebuah sekolah dekat Ipoh, dua tahun lalu.

Yap Ying Chao, 26, dan Boo Weil Sing, 30, dituduh secara bersama menerima deposit RM5,720 daripada Foong Han Yan, 30, tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Wang 2013.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting dekat Ipoh, pada jam 11.14 pagi 12 April 2016.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta berkenaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan pertama kali dalam Bahasa Melayu, bagaimanapun kelihatan terpinga-pinga ketika dibacakan buat kali kedua.

Seorang daripada tertuduh juga memberi beberapa alasan yang menjurus kepada pengakuan tidak bersalah apabila fakta kes dibacakan kepada mereka. Berikutan itu, Hakim Syed Faisal Syed Amir menolak pengakuan bersalah kedua-duanya kerana dianggap membuat pengakuan bersyarat di atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Syed Faisal kemudian menetapkan 7 September ini untuk kes itu disebut semula bagi mendapatkan jurubahasa bahasa Mandarin serta membenarkan kedua-duanya diberi jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 12:02pm
d