global

Kantoi tipu lumba burung

Oleh AFP

MENIPU perkara biasa dalam apa jua perkara tetapi dua pemilik merpati di China mengambil pendekatan yang keterlaluan apabila menyembunyikan haiwan itu dalam kotak susu dan menaiki kereta api laju untuk menang perlumbaan burung itu.

Tidaklah mengejutkan apabila burung merpati mereka mendapat kedudukan empat teratas perlumbaan dan menang hadiah utama lebih sejuta yuan (RM619,000).

Bagaimanapun, kepantasan burung merpati mereka kemudian menimbulkan keraguan menyebabkan penganjur perlumbaan di sini menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa selepas muslihat mereka terbongkar, lapor Legal Daily.

Kelajuan burung berbeza mengikut jarak dan kepantasan merpati lumba biasanya mencapai 150 kilometer sejam tetapi tidaklah sepantas kereta api laju.

Lelaki terbabit, Gong dan Zhang, kemudian cuba menyembunyikan jenayah mereka dengan membunuh burung merpati itu dan memulangkan wang kemenangan, kata akhbar itu lagi.

Mahkamah Shanghai kemudian mengenakan hukuman penjara tiga tahun ke atas mereka atas penipuan itu.

Mahkamah juga mendenda Gong 30,000 yuan (RM18,117) dan Zhang 20,000 yuan (RM12,078) kerana melanggar peraturan pertandingan apabila menggunakan burung lebih tua sedangkan usia merpati sepatutnya setahun, kata akhbar itu.

Kedua-dua mereka merancang dengan rapi untuk menang perlumbaan April 2017 bermula dari bandar Shangqiu di wilayah Henan hingga ke Shanghai meliputi jarak 750 kilometer.

Gong dan Zhang menggerakkan pelan mereka setahun lebih awal dengan meletakkan merpati mereka di Henan dan Shanghai supaya haiwan itu mengenali lokasi perlumbaan.

Selepas menunjukkan merpati mereka kepada penganjur di Henan, mereka tidak terus ke Shanghai sebaliknya membawa burung itu ke tempat lain di wilayah itu.

Di sana, merpati itu diletak dalam kotak susu dan dibawa naik kereta api laju ke Shanghai sebelum dilepaskan untuk terbang ke lokasi akhir perlumbaan dan menang tempat pertama.

Perlumbaan merpati adalah popular dalam kalangan penduduk China dan Shanghai dianggap ibu pejabat sukan itu.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 7:22pm
d