mutakhir

Tengku Abdullah berkenan hadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di pekarangan Jalan Mahkota, semalam.

Baginda diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan ketibaan mereka jam 9 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tengku Abdullah kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat utama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum menyaksikan acara perbarisan daripada 86 kontinjen dengan kekuatan 4,313 peserta.

Acara dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berarak masuk selain mempamerkan aset masing-masing.

Aset artileri seperti kereta perisai Adnan, peluru berpandu dan kereta kebal antara mencuri perhatian penonton selain persembahan teknik tempur tanpa senjata anggota ATM.

Majlis kemudian diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan daripada jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan barisan atlet Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 12:45am
d