mutakhir

Balasan tipu pakej haji

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BAPA kepada dua anak dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam bulan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana mempengaruhi seorang warga emas dengan tawaran pakej haji membabitkan kerugian RM12,150.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Mohd Zukainiel Yusof, 39, dari Marang, mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan niat menyebabkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Dataran Austin, di sini melaksanakan fungsinya mengeluarkan wang RM500 milik mangsa, Ismail Mohd, 87, secara penipuan (fraud) pada 9.38 pagi, 22 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama dengan mengeluarkan wang mangsa antara RM150 hingga RM1,500 membabitkan nilai keseluruhan RM12,150 di dua mesin ATM di Jalan Sultan Ismail dan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu antara 23 Januari hingga 14 Februari lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Azman menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah mengarahkan setiap hukuman berjalan secara berturutan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, tertuduh dilaporkan menyamar sebagai kakitangan sebuah bank yang kononnya dipertanggungjawabkan menguruskan pakej umrah dan haji tawaran daripada bank berkenaan.

Tertuduh dikatakan menjadikan warga emas sebagai sasaran dengan menunggu di sekitar lokasi mesin ATM bank sebelum menghampiri mangsa dan mempengaruhi mangsa dengan tawaran pakej umrah atau haji yang murah.

Mangsa yang teruja mendengar tawaran disediakan menyerahkan kad bersama kata laluan sebelum tertuduh bertindak mengeluarkan wang simpanan mangsa tanpa pengetahuan.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 4:13pm
d