mutakhir

'Abang Long Setapak' kena ketuk-ketampi...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TINDAKAN seorang pemuda mendakwa sebagai ‘Abang Long Setapak’ dan mencabar beberapa individu menerusi Facebook ‘live’ mengundang padah apabila dia dibelasah tiga lelaki serta didenda ketuk ketampi sebanyak 20 kali.

Malah, tiga video berkenaan yang dipaparkan secara langsung dari akaun Facebook pemuda itu turut ‘tular’ di media sosial sejak malam semalam.

Dalam rakaman pertama berdurasi satu minit 10 saat, pemuda itu dipercayai mencabar beberapa individu secara langsung di akaun Facebook miliknya termasuk untuk memancung dirinya selain mendakwa mahir ‘bertomoi’.

Bagaimanapun, menerusi video kedua berdurasi selama satu minit 45 saat yang juga dipaparkan secara langsung, pemuda itu berjaya ditahan tiga lelaki.

Dua daripada mereka kemudian bertindak menendang pemuda berkenaan sebelum menyuruhnya untuk meminta maaf secara langsung.

Manakala, menerusi paparan video ketiga berdurasi selama satu minit 54 saat pula, pemuda yang mendakwa berusia 23 tahun itu didenda ketuk-ketampi sebanyak 20 kali.

Kebanyakan penonton yang menyaksikan video itu secara langsung turut mengecam tindakan pemuda berkenaan, dan menyatakan rasa gembira apabila dia ditahan tiga lelaki yang mendendanya.

Namun, ada juga yang mengecam tindakan tiga lelaki itu yang dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pemuda berkenaan.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam satu maklum balas menyatakan tidak menerima laporan mengenai kes terbabit, namun akan membuat semakan serta siasatan terhadap kejadian yang didakwa berlaku malam semalam.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 8:30pm
d