mutakhir

JKM cari ibu tinggalkan bayi di hospital

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seremban meminta bantuan orang ramai mengesan ibu atau waris dua bayi perempuan yang ditinggalkan di dua hospital di Seremban, Negeri Sembilan bagi membincangkan hak penjagaan mereka.

Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Mohammad Yusof, berkata seorang bayi diberi nama Ainul Mardhiah Abdul Hakim, dilahirkan pramatang di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, pada 27 Julai lalu.

Beliau berkata, ibunya yang dikenali sebagai Nazira Abdullah yang juga seorang mualaf, meninggalkan anaknya selepas menerima rawatan.

“Seorang lagi bayi yang diberi nama Victoria Grace, ditinggalkan ibunya di ‘baby hatch’ Hospital Pakar KPJ Seremban pada 8 Ogos lalu. Ibunya hanya meninggalkan nota memaklumkan anaknya lahir pada 13 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mustafal berkata, ibu atau waris kedua-dua bayi itu diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM daerah Seremban, Norsahrisalina Nordin atau Nurlinda Rozak di talian 06-6015819 atau emel unitkpsbn@gmail.com bagi menguruskan hak penjagaan mereka.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 5:32pm
d