mutakhir

Anwar, Kit Siang ahli baru Majlis Presiden PH

Oleh Manirajan Ramasamy

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan veteran DAP, Lim Kit Siang dilantik sebagai anggota baharu ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua mereka hadir pada mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepemimpinan Perdana, yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya, hari ini.

Setakat ini, empat anggota gabungan PH terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah kini mempunyai lima ahli daripada setiap parti dalam Majlis Presiden berkenaan.

Secara keseluruhan, Majlis Presiden PH terdiri daripada 22 anggota dari keempat-empat parti termasuk Anwar dan Kit Siang.

Antara ahli Majlis Presiden PH termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAN Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mesyuarat pertama Majlis Presiden PH berlangsung pada 11 Mei lalu selepas keempat-empat parti berkenaan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 9:42pm
d