mutakhir

'Istilah putus asa sudah lama padam'

Oleh Mohd Rafi Mamat

KEKURANGAN dialami tidak pernah menjadi penghalang buat guru muzik orang kurang upaya (OKU) untuk terus menabur bakti pada anak bangsa sejak 16 tahun lalu.

Mohd Huzaire Ahmad, 41, berkata dia yang bergerak menggunakan kerusi roda tidak pernah lemah semangat untuk mendidik murid Tahun Satu hingga Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Mempaga 2, Bentong kerana jiwa sebagai pendidik begitu tebal dalam dirinya.

Katanya, dia sebenarnya pernah berputus asa pada 18 tahun lalu selepas terjatuh dari pokok rambutan setinggi dua meter yang menyebabkannya lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

“Saya mula mengajar di SK FELDA Mempaga 2 sejak 2005 selepas dua tahun di SK Jabor, Kuantan. Sebagai insan istimewa terlalu banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi yang menguji tahap kesabaran.

“Di sebalik kepayahan berkerusi roda untuk bergerak, saya tetap berbangga dapat mendidik lebih 10,000 murid sepanjang bertugas dan dalam tempoh itu juga saya menerima beberapa penghargaan peringkat negeri dan kebangsaan.

“Saya menerima Anugerah Khas Hari Guru 2005, Anugerah Guru Inovatif 2007, Anugerah Guru OKU Cemerlang 2010 dan anugerah khas sempena konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan Lipis 2015,” katanya.

Mohd Huzaire berkata, sebagai guru muzik dia berbangga apabila ada bekas anak muridnya berjaya terutama dalam bidang seni antaranya Mohd Aniq Ruzaimi yang kini bergelar artis.

“Memadai bagi saya sekiranya anak murid terbabit dalam bidang muzik sebagai guru, pencipta lagu dan pemuzik, bukan sebagai penyanyi terkenal semata-mata,” katanya.

Menurutnya, selain mengajar dia juga bergiat sebagai penasihat kumpulan muzik dan juri pertandingan nyanyian peringkat daerah selain aktif dalam Kelab Kembara Sejarah.

Katanya, semangat tinggi diperlukan untuk meneruskan tanggungjawab sebagai guru dan istilah putus asa sudah lama dipadam dalam kamus kehidupannya.

“Selain itu, paling penting juga sokongan kuat isteri Siti Nor Azizah Mohd Noor Yusoff dan keluarga serta rakan setugas yang menambahkan lagi kesungguhan menjalankan tugas diamanahkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 6:08pm
d