Kuala Lumpur: Walaupun ‘dihujani’ dengan pelbagai perancangan khas bagi membantu golongan gelandangan sekitar bandaraya, namun pihak berkaitan seharusnya meneliti aspek pengurusan secara lebih komprehensif bagi mengelak usaha dijalankan terkubur tanpa sebarang hasil positif.

Naib Presiden Pertiwi Soup Kitchen Munirah Hamid berkata, persoalan tercetus ketika ini bukan hanya membabitkan masalah penempatan seperti dijanjikan pihak berkuasa, namun aspek perlaksanaan serta pengurusan yang bakal dijalankan kelak adalah lebih penting.

“Walaupun bangunan atau penempatan dijanjikan pihak berkuasa akan disiapkan dalam tempoh beberapa tahun, namun operasi membabitkan penapisan penghuninya harus dikaji secara menyeluruh kerana individu dikatakan gelandangan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan masalah.

“Mereka terdiri daripada individu yang tersisih daripada keluarga, warga emas, menghidapi penyakit fizikal dan mental, dan tiada pekerjaan, oleh itu pihak berkuasa harus meneliti kriteria sebenar yang melayakkan individu ini menerima segala bantuan bakal dilaksanakan kelak,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan isu berkaitan gelandangan ini agak kompleks dan merumitkan, namun masalah berkenaan diyakini dapat diselesaikan apabila semua agensi berkaitan melakukan perbincangan secara khusus dengan lebih kerap.

“Agensi serta jabatan kerajaan yang berkaitan harus duduk semeja bagi membincang isu ini. Masalah ini saling berkait rapat terutamanya bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

“Dokumentasi bagi setiap gelandangan penting dalam memastikan kaedah penyaluran bantuan oleh JKM dapat dilaksanakan secara sistematik,” katanya.

Menurutnya, Pertiwi Soup Kitchen sehingga kini tetap meneruskan usaha mendekati gelandangan dengan memberi bantuan makanan serta perubatan seperti mana dilakukan sejak tahun 2010 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:18 AM