arena

Gelagat Inzaghi undang padah

Oleh Reuters

ROME: Jurulatih Lazio Simone Inzaghi diarah keluar padang tetapi enggan berbuat demikian pada awalnya selepas terlalu meraikan jaringan penyamaan dalam aksi Serie A penuh dramatik ketika terikat 1-1 dengan AC Milan di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.

Selepas penjaga gol, Gianluigi Donnarumma menafikan beberapa percubaan lawan, Frank Kessie meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-78 sebelum Joaquin Correa menyelamatkan mata buat Lazio pada minit ke-94.

Jaringan pemain Argenina itu mencetuskan kegembiraan di tempat duduk yang turut disertai Inzaghi dan pengendali itu diarahkan untuk keluar daripada kawasan teknikal itu oleh pengadil.

Pada mulanya, dia enggan mengikut arahan berkenaan sebelum dipujuk untuk keluar selang beberapa minit selepas melakukan protes.

"Saya tidak faham sebab utama diarah keluar, kemudian dia (pengadil Luca Banti) menjelaskan yang saya perlu meninggalkan kawasan teknikal," kata Inzaghi.

"Saya mohon maaf, saya terlalu cenderung dengan perlawanan ini dan pemain saya berada di sana.

"Saya mungkin sedikit gementar dan kecewa kerana kami mungkin tewas dalam satu perlawanan yang tidak sepatutnya kami kalah. Jaringan penyamaan Correa itu sememangnya layak."

Keputusan seri itu membawa makna Lazio kekal berada di tangga keempat dalam carta Serie A dengan 23 mata, satu mata di hadapan  seteru mereka yang berada di tangga kelima. Kelompok empat terbaik layak untuk saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Sementara itu, jurulatih Milan, Gennaro Gattuso berkata, isu kecederaan meletakkan pasukannya berada dalam situasi 'kecemasan'.

"Bukan mudah untuk bermain dengan ramai pemain yang diberikan peranan itu adalah baharu buat mereka," katanya. "Kami berada dalam keadaan cemas tetapi ia bukan sesuatu yang perlu ditangisi."

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 8:21am
d