mutakhir

Lelaki ditikam di perut

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI cedera di perut selepas ditikam dua lelaki lain dengan senjata tajam di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar di Jalan Siakap, Bagan Serai, malam tadi.

Mengikut penduduk di situ, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 20-an bersendirian melalui kawasan itu antara 10 hingga 11 malam.

Difahamkan, mangsa didatangi dua lelaki yang tidak dikenali yang cuba merampas telefon bimbitnya.

Keengganan mangsa menyerahkan telefon berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian perut dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Mangsa yang ditemui orang awam kemudian segera dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, maklumat lanjut pihak polis belum diperoleh dan NSTP masih cuba mendapatkan kenyataan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 9:48am
d