mutakhir

Tiga maut dalam kemalangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TIGA maut, manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan motosikal, kereta dan bas pekerja di Jalan Bukit Tembok-Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.10 petang itu, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, R Sarawanan, 29; pembonceng, Norazli Kassim, 37, dan pemandu kereta Honda Accord, R Piravin, 25.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila motosikal dari arah Pasir Panjang ke Telok Kemang dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.

“Pada masa sama, kereta yang berada di belakang cuba mengelak tetapi terlanggar motosikal berkenaan dan terus merempuh bas dinaiki empat pekerja kilang yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Selain itu, Aidi Sham berkata, pemandu bas berusia 53 tahun bersama dua penumpang berusia 40 serta 27 tahun cedera ringan, dan mendapatkan rawatan di hospital sama.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 8:38pm
d