mutakhir

Penganggur terima 'balasan'... [METROTV]

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

PENGANGGUR dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan, dua minggu lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhammad Khairul Ishak, 19, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah pangsapuri di Tengkera, kira-kira jam 11 malam pada 9 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan perlu menjaga ibu bapanya yang sakit di Perak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 10 Disember lalu.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 12:22pm
d