mutakhir

Hadiah senapang patah tanda persahabatan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS merampas dua senapang patah buatan sendiri dan 154 peluru susulan penahanan dua lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar daerah Manjung, Selasa lalu.

Turut dirampas, 140 kelongsong peluru pelbagai jenis dan saiz yang sudah digunakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim, berkata dalam serbuan pertama polis menahan seorang mekanik enjin bot berusia 52 tahun di rumah di Kampung Gunung Tunggal, Changkat Keruing pada 3.10 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam bengkel membaiki enjin bot yang terletak bersebelahan rumah suspek itu menemui selaras senapang patah buatan sendiri berukuran kira-kira 118 sentimeter (sm) yang disembunyikan di tepi dinding.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga rakan suspek pada 6.30 petang hari sama di Taman Sitiawan dan turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri.

“Pemeriksaan lanjut dalam almari di bilik utama rumah berkenaan menemui sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru yang disembunyikan dalam almari itu dan suspek mengakui semua barang berkenaan adalah miliknya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, hari ini.

Chong berkata, turut ditemui satu kelopak peluru jenama Walther PPK 7.65 milimeter (mm) berisi lima butir peluru 7.65 mm dalam beg pinggang suspek yang disimpan dalam almari sama dan semua barangan daripada kedua-dua suspek dirampas kerana disyaki dimiliki tanpa lesen sah.

Beliau berkata, suspek pertama dipercayai menjalankan aktiviti membuat senapang buatan sendiri untuk dijual di sekitar dalam dan luar Manjung serta sasarannya adalah orang berminat berburu.

“Suspek kedua pula mendakwa senapang buatan sendiri yang dirampas itu adalah hadiah daripada suspek pertama sebagai simbolik persahabatan mereka.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah manakala saringan awal air kencing didapati negatif.

“Suspek pertama ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 manakala lelaki kedua ditahan mengikut seksyen sama dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1971. Kedua-dua mereka direman enam hari sehingga 23 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Chong berkata, pada hari sama, polis menahan dua suspek dipercayai terbabit kes samun berkumpulan di bengkel lori dalam kebun sawit di Kampung Banjar, Ayer Tawar.

Dalam kejadian 2 pagi itu, dua suspek bersama tiga lagi individu datang ke bengkel berkenaan yang turut menempatkan tempat tinggal pekerja dengan mendakwa mereka sebagai anggota polis yang datang untuk membuat pemeriksaan.

“Kumpulan berkenaan turut membawa kayu hoki, batang besi dan parang panjang dan memasuki beberapa kabin pekerja serta mengambil tujuh telefon bimbit serta sejumlah wang sebelum melarikan diri.

“Seorang suspek berjaya ditangkap pekerja di premis berkenaan manakala seorang lagi ditahan polis di tepi jalan pada hari sama.

“Dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu mengaku melakukan samun dengan rakan menaiki kereta Proton Saga BLM dan Perodua Kancil,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis sedang mengesan tiga lagi suspek kes berkenaan manakala kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Disember ini.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 7:04pm
d