Kuala Lumpur: Pemain industri minyak dan gas tempatan serta antarabangsa diharap dapat mengaplikasikan penyelesaian terbaik dalam menangani realiti pasaran baru terutama bagi aspek keberkesanan operasi dan peningkatan kos.

Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Hiliran Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Datuk Wan Zulkiflee Wan Arifffin berkata, langkah itu adalah salah satu strategi yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan dalam kalangan pemain industri bagi memastikan pengurusan kos dapat dicapai dengan baik berdasarkan persekitaran terkini dalam industri terbabit.

“Mereka boleh menggunakan rangkaian nilai dengan memanfaatkan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman antara satu sama lain bagi mencapai objektif utama iaitu pengurusan kos dalam keadaan harga minyak global tidak menentu pada masa ini,” katanya pada majlis prapelancaran Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 (OTC 2016) di sini baru-baru ini.

Persidangan itu akan diadakan di Kuala Lumpur pada 22 hingga 25 Mac 2016 serta bakal dihadiri kira-kira 30,000 peserta berkaitan industri dan ia dijangka menjana jualan sehingga atau lebih RM3 bilion.

Beliau berkata, keyakinan terhadap asas industri itu di Asia masih kukuh dan pesat meski pun dalam persekitaran ekonomi mencabar pada tahun ini di mana Asia dijangka menjadi populasi kepada kira-kira tiga bilion individu berpendapatan sederhana menjelang 2030.

“Potensi Asia sebagai enjin pertumbuhan industri minyak dan gas sangat menggalakkan di mana ia terbukti apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu daripada 10 bandar minyak dan gas di dunia oleh Rigzone serta dipilih sebagai lokasi bagi OTC meskipun acara terkenal ini bermula di Houston dan kini dianjurkan di rantau ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PETRONAS akan terus menumpukan usaha untuk mengawal kos operasi memandangkan pemegang saham syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) lebih mengutamakan pulangan pelaburan berbanding meningkatkan pertumbuhan perniagaan.

Wan Zulkiflee berkata, hal itu berikutan kedudukan harga minyak dunia pada masa ini yang sangat berbeza berbanding dua tahun lalu ketika harga komoditi itu didagangkan pada AS$110 (RM396) setong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:30 AM