mutakhir

Agong baru dipilih 24 Januari [METROTV]

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

TEKA-TEKI siapakah Sultan atau Raja yang akan bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bakal diketahui apabila Majlis Raja-Raja bersidang menerusi mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini.

Penetapan tarikh mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu bagi melantik Ketua Negara dicapai menerusi mesyuarat khas yang diadakan di Istana Negara hari ini yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat khas majlis itu hari ini dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Katanya, mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini juga turut menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Mesyuarat khas Majlis Raja-raja hari ini diadakan susulan Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta-merta, semalam.

“Sehubungan itu, Raja-raja menetapkan 24 Januari ini untuk mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan.

Beberapa prosedur ditetapkan dalam menentukan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu antaranya, baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Syed Danial turut berkata, raja-raja yang hadir dalam perjumpaan hari ini turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam.

“Raja-raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Sultan Muhammad memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari lalu,” katanya.

.

  • Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan
  • Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 4:49pm
    d